Artikel dari Kosmo online
Rekod profesor termuda dunia
SEORANG gadis berumur 19 tahun, Alia Sabur memecah rekod dunia apabila menjadi profesor universiti paling muda di dunia.
Alia dilahirkan pada 22 Februari 1989 di New York City, Amerika Syarikat (AS) dan kebijaksanaannya mula terserlah apabila dia memasuki Universiti State New York di Stony Brook pada usia 10 tahun.
Dia kemudiannya diterima masuk sekolah siswazah ketika berumur 14 tahun apabila tamat pengajian dengan memperoleh kepujian tertinggi di universiti itu.
Kebolehan gadis berketurunan Iran itu bukan sahaja dalam bidang akademik tetapi dia juga cemerlang dalam seni mempertahankan diri, taekwondo dan muzik.
Alia mendapat tali pinggang hitam taekwondo ketika berumur sembilan tahun dan pada usia 11 tahun dia juga pernah bermain alat muzik klarinet dalam satu konsert.
Selepas tamat pengajian di Universiti State New York, Alia melanjutkan pelajaran di Universiti Drexel di mana dia dianugerahkan ijazah sarjana pada 2006.
Gadis itu kini merupakan calon untuk ijazah doktor falsafah, (Ph.D) dalam bidang Kejuruteraan dan Sains Bahan.
Dia yang mula membaca buku fizik ketika berumur 10 tahun juga sedang menjalankan kajian untuk mencari kaedah merawat penyakit kanser dan Alzheimer.
Pada tahun 2007, Alia menjadi pensyarah sambilan di Universiti Southern di New Orleans selepas negeri itu dilanda Taufan Katrina.
Bagaimanapun, pada 19 Februari 2008, Guinness Book of World Records menamakan Alia sebagai profesor paling muda di dunia.
Rekod itu sebelum ini dipegang oleh Colin Maclaurin sejak 1717 apabila dia dilantik sebagai profesor matematik ketika berumur 19 tahun dan tujuh bulan.
Alia dilantik sebagai profesor di Jabatan Penggabungan Teknologi Lanjutan di Universiti Konkuk di Seoul, Korea Selatan.
Alia berkata, ibunya yang merupakan bekas jurutera dan bapanya yang merupakan seorang wartawan penyiaran memberi galakkan berhubung apa yang ingin dilakukannya.
"Kami percaya apa yang kami peroleh selama ini adalah anugerah daripada Tuhan," katanya.
"Saya hanya mahu mengetahui bagaimana sesuatu benda itu berfungsi dan apakah sains sebenarnya?," katanya.
Ditanya apakan kelemahannya, gadis pintar itu mengakui bahawa dia tidak pandai bermain permainan bola keranjang.
"Saya suka mengajar kerana ia sesuatu yang boleh saya melakukan perubahan dan saya berpendapat saya boleh membantu orang ramai," katanya.
Alia yang akan mula bertugas di Seoul pada bulan ini memberitahu bahawa dia bakal mencatatkan satu lagi kemahiran yang dimilikinya iaitu fasih berbahasa Korea.
"Saya juga bersyukur kepada Tuhan kerana saya juga boleh berkomunikasi dalam bahasa matematik dan muzik," katanya. - Agensi
No comments:
Post a Comment